Sunday, August 5, 2012

Kerana kanser, aku menemui Al-Quran..

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Gambar hiasan

Saya mempunyai seorang anak murid yang belajar Al-Quran, umurnya sudah lebih 50 tahun. Tetapi dari segi fizikalnya dia seperti sihat dan kelihatan muda.

Tetapi, dia mempunyai sakit. Sakit kanser. Tatkala awal dia mula mendaftar diri untuk belajar Al-Quran, dia baru sahaja selepas beberapa bulan menjalani kimoterapi, rawatan yang biasa dilakukan oleh pengidap kanser.

Katanya ketika awal mahu belajar: "Lepas saya buat rawatan kimoterapi, banyak ingatan saya yang sudah hilang. Termasuk Al-Quran... Jadi harapnya dapat belajar ini boleh kembalikan ingatan saya.."

Katanya lagi, dia mahu menjadi seorang yang pandai baca Al-Quran semula. Nak betulkan bacaan, dan boleh membaca Al-Quran secara tarannum (berlagu). Akhirnya, matlamatnya dia mahu masuk Musabaqah Tilawah Al-Quran. Saya kagum dengan semangatnya.

Kanser

Apa yang sedikit pelik, suatu hari hampir dua jam saya bersembang dengannya selepas tamat mengaji. Dia ceritakan penyakitnya kepada saya. Kata doktor, berdasarkan medical-report, hospital mengesan sel kanser di dalam darahnya. Tetapi masih tidak mengetahui jenis kanser. Lalu doktor cadangkan agar menjalani kimoterapi.

Selepas kimoterapi, dia mengalami keadaan tubuh badan yang susut. Memang rawatan kimoterapi mempunyai banyak kesan sampingan, terutama kepada otak, antaranya ia mungkin memberi kesan kepada sel-sel otak yang menyebabkan kehilangan ingatan.

Hampir enam bulan dia mengambil cuti daripada tempat kerjanya.

Tetapi selepas membuat pengesanan semula, doktor mengatakan masih belum mengenal punca kanser. Beliau berkata mereka perlu mendapatkan bantuan pakar daripada luar negara yang lebih arif untuk mengetahuinya.

Akhirnya beliau berikhtiar untuk mencuba pula kepada rawatan Islam. Katanya bimbang ada 'benda lain' yang mungkin menganggu kesihatannya. Saya mencadangkan bertemu dengan beberapa ustaz yang saya kenali yang boleh merawatnya.

Keluarga

Beliau menceritakan bahawa isterinya adalah doktor pakar. Pakar di dalam bidang siasatan dan pembedahan. Atau dikenali pakar Patologi. Doktor yang selalu buat post-mortem kepada mayat-mayat yang mati dibunuh, bunuh diri, kemalangan dan sebagainya.

Namun peliknya, isterinya sendiri tidak dapat mengenal-pasti apakah jenis penyakit kanser yang dihadapinya.

Saya sedikit sayu bilamana dia menceritakan perihal keluarganya. Anaknya yang kedua juga telah meninggal dunia akibat daripada kanser. Besar kemungkinan ada diantara ahli keluarga yang juga berisiko untuk terkena kanser, termasuklah dirinya.

Peristiwa yang menimpanya itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarganya. Namun, dari jernih wajah mukanya, ada semangat dan keyakinan untuk beliau menghadapi semua perkara itu. Apa yang penting katanya, biarlah meninggal dunia di dalam belajar Al-Quran.

Sungguh beruntung, Allah pertemukan dia dengan Al-Quran melalui sakit kansernya.

Syukur dengan kurniaan hidup

Syukurlah Allah pertemukan saya dengan orang sebegini. Saya banyak belajar daripada mereka tentang hakikat kehidupan.

Kadangkala apabila kita menginginkan atau menyukai sesuatu, Allah tidak berikan kepada kita. Kerana dari sisi Allah, perkara itu mungkin kurang baik bagi manusia. Begitulah sebaliknya. Bukanlah Allah itu menzalimi, bahkan jauh dari itu Allah sayang pada manusia.

Kata Allah: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Sesungguhnya (hanya) Allah Mengetahui (segala-galanya), sedangkan kamu tidak mengetahui.." (Al-Baqarah: 216).

Kepong (11:30 a.m)

Tuesday, July 31, 2012

Berbakti kepada dua orang tua: Fahamilah kehendak mereka, bukan kehendak kita..

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman: "Dan Kami (Allah) perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku (tempat) kembalimu." (Surah Luqman, 31).

Di dalam ayat yang lain, Allah turut menyatakan: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat baik (santun) kepada kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sesekali engkau berkata 'ah' terhadap mereka, dan janganlah engkau menengking mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan-santun dan lemah lembut." (Surah Al-Isra', 24).

Di dalam Al-Quran, terdapat ayat-ayat yang diturunkan Allah, atau ayat perintah yang berbentuk secara langsung, atau tidak langsung. Atau secara jelas dan samar-samar. Andainya kita seorang yang rajin membaca Al-Quran, kita akan mendapati banyak ayat-ayat suruhan dan larangan Allah yang diturunkan secara jelas, ia mengandungi perintah atau suruhan yang sangat penting.

Antaranya persoalan hukum Allah (Hudud), juga termasuk ayat diatas.

Berbuat baik kepada ibu bapa

Jika kita membaca ayat diatas, secara jelas dan tanpa tafsiran, Allah memerintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Secara terang-terangan Allah menunjukkan satu persatu bagaimana seseorang manusia itu perlu berbuat baik kepada kedua orang tuanya, iaitu menyantuni mereka apabila keduanya atau salah satu sudah tua, dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat, atau terasa hati mereka.

Bercakap untuk berbuat baik kepada kedua orang tua memang menang, tetapi untuk melaksanakannya sangat payah. Ramai orang berkata bahawa mereka telah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Antara 'berbuat baik' yang sering dilakukan oleh anak-anak adalah dengan memberi mereka duit setelah mereka mendapat pekerjaan. Dan ada juga yang membelikan rumah dan kenderaan. Tidak ketinggalan, ada yang membawa ibu bapanya mengerjakan umrah.

Semua ini adalah tafsiran 'berbuat baik' oleh anak-anak di zaman ini.

Persoalannya, adakah dengan kesemua itu, kita sudah benar-benar berbuat baik kepada kedua orang tua kita?

Rumah orang tua

Setiap kali jika diizinkan Allah, saya menziarahi ke rumah-rumah orang tua yang menempatkan ibu-bapa yang sudah berumur dan lanjut usia. Setiap kali itu saya sering tertanya-tanya, dimanakah anak-anak mereka? Jikalau pun anak-anak mereka tidak ada, dimanakah saudara-saudara mereka?

Persoalan ini selalu menganggu fikiran saya. Dan saya pasti majoriti orang-orang tua yang tinggal disitu masih mempunyai anak-anaknya. Pernah sekali saya mendengar cerita seorang orang tua yang ditinggalkan oleh anaknya dan dihantar ke rumah itu kerana menuruti kehendak isterinya yang tidak suka kepada ayahnya.

Saya juga tertanya-tanya kepada anak-anak yang ada hari ini, yang sedang sibuk bekerja, yang sedang sibuk menguruskan keluarga, anak dan isteri. Adakah kita benar-benar sudah berbuat baik kepada kedua orang tua.

Ini kerana, berbuat baik dan membalas jasa kedua orang tua adalah satu perkara yang sangat berbeza. Untuk berbuat baik, kita boleh dan mampu lakukan. Tetapi untuk membalas jasa, tidak sesekali akan terbalas jasa kedua ibu bapa kita walau apa kebaikan yang kita lakukan sekalipun kepada mereka.

Ibu melahirkan kita, sedangkan kita tidak mampu membalas nilai sebuah kelahiran itu. Ayah berkorban untuk ibu, mencari rezeki yang halal untuk disuapkan ke mulut kita, sehinggakan kita boleh membesar dan bekerja sampai ke hari ini. Juga tidak mampu untuk dibalas. Untuk membalas jasa mereka, tidak mungkin bagi kita.

Kehendak ibu bapa

Ramai kita tersilap dalam berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ada yang setiap bulan menghantar wang kepada ibu dan ayahnya di kampung. Ada yang menyediakan rumah dan kenderaan. Ada yang berusaha mendapatkan pekerjaan yang hebat-hebat, agar ibu bapa mereka berbangga dengan kerjaya mereka. Tetapi, pernahkah kita bertanya kepada mereka, apakah wang dan perkara-perkara itu yang mereka perlukan?

Sebenarnya, apabila kita merujuk Al-Quran, perkara yang lebih penting daripada itu semua adalah 'menjaga hati' ibu dan ayah kita. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah lanjut usia. Lebih utama lagi, tatkala kedua mereka sudah beransur tua atau ada diantara mereka yang sakit. Sukar bagi seorang anak untuk menjaga hati kedua orang tua mereka. Apatah lagi apabila ia bertentangan dengan kehendak kita.

Kehendak kedua ibu bapa kadangkala tidak seperti yang kita inginkan. Misalnya di dalam memilih pekerjaan, dan membuat satu-satu keputusan. Dalam hal ini, anak-anak sering merungut dan mengatakan bahawa ibu bapanya tidak memahami mereka, tidak mengerti perasaan dan kehendak mereka. Sedangkan, pernahkah mereka terfikir akan kehendak dan perasaan ibu bapa mereka?

Ya, bukan semua ibu bapa adalah soleh dan baik. Ada anak-anak yang dilahirkan di dalam keluarga yang bermasalah. Tetapi itu bukan penyebab kepada kita tidak boleh menjaga hati mereka. Ini kerana, dalam Islam jelas bahawa menjaga hati adalah pada perkara-perkara yang tidak menyalahi syariat sahaja. Justeru, selagi kedua orang tua tidak menyalahi syariat, tidak menjadi sebab untuk kita tidak mengingkari mereka.

Kerenah orang tua

Kebiasaannya, ramai yang tidak mengendahkan apabila nampak orang tua seperti ini ditepi jalan.

Tidak ramai yang mampu untuk 'bertahan' dengan orang-orang tua. Menjaga kedua orang tua sangat berbeza dengan menjaga bayi yang kecil. Ramai orang boleh menerima kerenah dan perangai bayi kecil yang comel yang menangis dan merengak, tetapi betapa banyak orang dan anak-anak di zaman sekarang yang sukar menerima dan menanggung kerenah kedua ibu bapa mereka yang sudah tua.

Ramai ibu dan ayah boleh membasuh najis bayi yang kecil seandai si kecil itu 'berak' di mana-mana. Tetapi berapa ramai anak-anak yang sanggup membasuh najis ibu bapanya yang tua dan nyanyuk yang 'berak' merata-rata?

Saya yakin, tidak ramai yang mampu. Sebab itulah lahirnya pusat jagaan orang-orang tua. Bukan kerana mereka tidak ada anak-anak, tetapi anak-anak mereka 'tidak tahan' menjaga dan berhadapan dengan kerenah ibu bapanya yang lanjut usia.

Demikianlah Allah s.w.t telah awal-awal mengingatkan kita di dalam Al-Quran mengenai itu secara terperinci dan jelas. Kerana tidak ramai yang boleh menerima tanggungjawab menjaga orang-orang tua.

Apa yang kita buat, kita akan dapat

Akhirnya, di dalam dunia ini, falsafah yang sering perlu kita ingat adalah 'apa yang kita buat, kita akan dapat kembali'. Jika hari ini kita membuang ibu bapa kita, kita mengherdik ibu bapa kita, kita marahkan ibu bapa yang tua kerana menyusahkan kita, kita meninggalkan ibu bapa yang sudah tua ke rumah jagaan orang tua, kita tidak mengendahkan nasihat mereka, kita membiarkan mereka ketika mereka sakit, suatu hari nanti, kita akan menghadapinya semula.

Perkara yang sama akan dibuat oleh anak-anak kita, seperti yang kita telah lakukan kepada kedua ibu bapa kita dahulu. Kita akan dapat kembali apa yang kita pernah buatnya dahulu...

Tuesday, June 19, 2012

Nasihat buat 'Tuan Direktur'.

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Membaca karya Prof. Dr. Hamka bertajuk 'Tuan Direktur', ada sedikit kelainan berbanding karya-karya beliau yang pernah saya baca seperti karya 'Di dalam lembah kehidupan' dan 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'.

Namun, ada juga persamaan apabila menatap apa sahaja karya Prof. Dr. Hamka. Beliau mengisahkan sesuatu peristiwa seolah-olah beliau berada di dalamnya. Seakan beliau sendiri adalah watak di dalam kisah hidup itu.

Kepada yang tidak mengenali Dr Hamka, beliau merupakan pendakwah yang sangat mahsyur dengan penulisan. Antara pesannya yang penting di dalam penulisan dakwah: "Menulislah dahulu, walaupun kita tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kerana idea dan ilham akan datang selepasnya. Ilham dan idea datang tidak kira masa, dan apabila ia hadir, catatlah kerana ia tidak akan hadir untuk kali kedua.."




Tuan Direktur

Karya 'Tuan Direktur' adalah kritikan murni dan ikhlas melalui sebuah pengkisahan kehidupan realiti kepada golongan korporat, tokey-tokey, ahli-ahli perniagaan yang tandus daripada nilai dan budi. Menariknya, susun atur ceritanya berlatar belakangkan rakyat Indonesia yang sememangnya suka berniaga dan boleh dikatakan tepat dan sama dengan situasi rakyat negara ini.

Dengan sinis, beliau mengkritik golongan ahli perniagaan yang mengejar kekayaan sehingga ketika sedang mengejar kekayaan itu, mereka tidak sedar yang mereka telah kehilangan sesuatu. Memang lumrah hidup, jika ada yang diperolehi, akan ada yang hilang.

Katanya: "Sesungguhnya dunia ini tidak pernah cukup. Jika seseorang itu berlari mengejar kekayaan wang, dalam tidak sedari dia telah miskin dalam perkara budi. Kalau orang berlari mencari sahabat yang akan mengangkat-angkat (menyanjungnya), dengan tidak sedar dia telah pun miskin dari sahabat yang sanggup untuk menunjuk menyantuninya. Dan kalau orang berlari mencari pergaulan di kalangan orang tinggi-tinggi, dengan sendirinya orang itu akan kehilangan teman dalam kalangan orang yang rendah-rendah.."

Nasihat ini timbul apabila beliau melihat hampir kebanyakan pengurus-pengurus perniagaan ketika itu yang pada mulanya memang memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, kemudian beransur untung dan maju, dan akhirnya mereka ini berjaya. Namun, di dalam perjalanan menuju kekayaan tersebut, ramai pengurus melupakan nilai, persahabatan dan budi.

Antara contoh yang diberikan adalah 'Tuan Direktor' yang memiliki perusahaan fabrik (kain). Lalu dia berazam untuk meluaskan lagi rangkaiannya dengan membina sebuah hotel di satu tanah yang berpotensi. Sedangkan ditanah itu wujudnya orang-orang kampung yang kerjanya dan hidupnya kais pagi, makan pagi.

Dalam mengejar keuntungan itu. Tuan Direktor telah mencari helah bagaimana mahu mendapatkan tanah itu. Disogoknya dengan wang beribu-ribu kepada tuan tanah, sedangkan tuan tanah itu tetap tidak berganjak dari pendiriannya di tanah pusakanya. Dia dapat membezakan nilai tanah itu dengan nilai wang yang akan dibayar.

Pengurus yang dilantik untuk membeli tanah itu diarah oleh Tuan Direktur agar menyelesaikannya. Namun, dia gagal atas ketegasan prinsip tuan tanah itu. Pengurus itu akhirnya dipecat dan ditinggalkan kerana gagal menyelesaikan masalah, dan gagal memberikan keuntungan kepada syarikatnya. Demikianlah situasi sesetengah ahli perniagaan, pecat, buang dan tinggalkan pekerja-pekerja yang tidak boleh bawa kemajuan dengan alasan bimbang syarikat akan ketinggalan, sedangkan belum menyelidiki masalah, kehidupan, dan keperitan yang melanda pekerja itu sebenarnya.

Kaya wang, miskin jiwa

Situasi ini menurut pandangan Dr Hamka: "Sekiranya hanya wang yang dicari, aku takut beberapa perkara yang lebih mahal daripada wang telah engkau lupakan... Engkau lupakan budi, padahal diatasnyalah tegak kemanusiaanmu. Engkau lupakan agama, padahal dengan itulah engkau berbahtera ke Akhirat. engkau lupakan temanmu, padahal di dalam hidup ini engkau tidak sanggup tegak sendiri. Sehingga kerana itu (semata-mata), engkau telah 'hargakan' harta lebih dari harganya.."

Demikianlah cetusan Dr Hamka. Ungkapan "Engkau hargakan harta lebih dari harganya.." memberi maksud betapa nilai dan harga harta itu tidaklah dapat menyamai nilai budi, nilai sahabat dan nilai agama. Orang yang menghargakan harta maka harta akan mengelilinginya. Apabila dia melihat harta lebih berharga daripada nilai-nilai itu, maka Dr Hamka menambah: "..Kelak hanya wang yang akan mengelilingimu.. Sahabat, agama, budi, habis musnah..."

Nilai persahabatan

Namun di dalam perniagaan, kita akan diuji dengan nilai persahabatan. Disini, Dr Hamka menegaskan bahawa jangan tertipu dengan sahabat dan kenalan, sangat jauh bezanya.. Beliau menasihatkan: "Janganlah engkau tertipu lantaran berolehnya beberapa sahabat yang datang dari dunia yang bukan duniamu dan masyarakat yang bukan masyarakatmu. Itu bukan sahabat, itu hanyalah kenalan. Kepada mereka tidak akan memberitahukan kesusahan kita hanya kesenangan semata. Sahabat pada waktu susah, itulah yang perlu.."


Di dalam perniagaan, sahabat yang banyak mengkritik lebih diperlukan berbanding yang selalu memuji. Yang selalu memuji adalah tukang ampu yang berkehendakkan hasil dan sesuatu daripada majikannya. Meskipun majikannya itu berbuat silap.

Hakikatnya, bukan tidak boleh mengejar harta, tetapi menjadikan harta sebagai tujuan utama, itu merupakan satu kesilapan besar. Tidak ramai yang boleh berpegang dengan prinsip tatkala diuji dengan harta dan keuntungan. Mengejar harta itu boleh, tetapi janganlah ketika mengejarnya, kita meninggalkan nilai-nilai yang lebih berharga dari harta.

Di dalam halaman-halaman akhir buku ini, diselitkan beberapa kandungan nasihat yang sangat berguna kepada yang terlibat dengan perniagaan. Antara yang begitu mengesankan adalah nasihat Dr Hamka ini: "Banyak orang yang aku lihat mencari harta kerana katanya harta itu ialah suatu jalan untuk mencapai hidup. Tetapi setelah harta itu didapatinya dan terasa olehnya manisnya (harta itu), bukan lagi harta itu dipandangnya (sebagai) jalan, tetapi harta itulah dia berhenti hingga itu sahaja (tujuan hidupnya). Dan (hakikatnya) hidupnya yang sebenarnya dia (pun) tidak dapat merasainya.."

Sri Gombak,
2:08 pm (Rabu).

Thursday, June 14, 2012

Ustaz Haji Yahya Othman, antara kenangan manis kami...

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh


Lebih kurang jam 6:30 petang tadi, saya menerima sms bertalu-talu dari sahabat mengenai pemergian Ustaz Haji Yahya Othman. Sedikit terkejut dan nafas terhenti seketika tatkala membaca sms. Sudah perginya permata ummah dan tarbiyah yang sekian lama nafasnya sentiasa berdenyut di hati-hati anak-anak generasi yang pernah dididiknya.

Dari hati yang sebak, Al-Fatihah saya titipkan buat beliau..

Pengenalan

Saya tidak tahu mengapa, susuk tubuh Ustaz Yahya ini sentiasa terpahat di dalam dada dan hati sanubari saya. Setiap kali saya bertandang dan berkunjung ke Kelantan, saya pasti akan teringat beliau. Hasrat memang ingin singgah di rumahnya, namun kadangkala sibuk mengejar tugas dan masa menghambat.

Ruh dan nuraninya sentiasa membasahi jiwa saya. Bilamana saya berusrah, berbincang dengan sahabat-sahabat, kerap kali ungkapan dan nasihat-nasihatnya menjadi sebutan dan panduan.

Permulaan saya 'dididik' olehnya adalah tatkala saya menuntut di Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan selama dua tahun. Saya pasti, sahabat-sahabat saya yang pernah mengaji disini pasti pernah 'melintasi' dan merasai dididikan beliau, sama ada mengunjungi usrah, tamrin, mukhayyam, kuliah dan bertandang ke rumahnya.

Saat kenangan..

Ada beberapa kenangan yang saya tidak pernah lupa tersemat dalam ingatan saya, bila mana saya teringat Ustaz Yahya Othman.

Saat perkenalan dengan beliau kali pertama, saya hanya mendengar dari bibir ustaz-ustaz saya mengenai kehebatan beliau. Penasihat tarbiyyah buat jemaah Islam dan buat generasi-generasi baru. Mahasiswa-mahasiswa turut menjadikan beliau sebagai rujukan terbiyyah di kampus. Sehinggalah saya mendengar kuliah dan ucapan beliau di dalam satu tamrin yang saya sertai.

Sungguh, diwaktu itu, inilah kuliah yang paling berkesan yang pernah saya hadiri. Kata-katanya, nasihatnya, perumpamaannya, hikmahnya menusuk masuk ke dalam hati dan membekas di jiwa. Persoalan yang dilontar, dijawab penuh hikmah dan bijaksana.

Kenangan kedua, ketika saya diamanahkan untuk menguruskan satu tamrin (kem latihan) untuk adik-adik saya di UM Nilam Puri, Kelantan. Dan diantara kuliah mengenai 'amal jamai'e saya berhasrat untuk menjemput beliau. Lalu saya menguhubunginya.

Beliau bersetuju, dan menjemput saya ke rumahnya. Saya agak terkejut, kerana saya mengira ustaz Yahya adalah seorang yang sangat tegas di dalam tarbiyah. Barangkali bimbang ada persoalan-persoalan yang ditanya beliau saya akan gagal menjawabnya. Maklumlah masih lagi merangkak dalam tarbiyah ketika itu..

Tiba dirumahnya, saya kagum. Seorang yang sangat sederhana. Ruang tamunya dipenuhi buku-buku tarbiyah, tafsir dan Al-Quran, bukti beliau ini seorang yang sangat menghargai ilmu. Dijemputnya saya dan seorang sahabat yang menemani saya. Beliau menyambut kami dan beliau sendiri membawa air untuk dihidangkan kepada kami. Saya masih ingat, beliau sendiri yang menuangkan air sirap ke gelas kami.


Nasihat

Ketika itu, hanya butir-butir nasihat sahaja yang terbit dari bibirnya. Tidak terbilang dan terharga banyaknya nasihat yang diberikan kepada kami. Antara nasihat yang paling berharga dititipkan: "Akhi, orang muda mesti mencintai ilmu, mesti sekurang-kurangnya membaca sebuah buku sehari.."

Dan nasihatnya lagi: "Enta mesti jadi orang yang tahu banyak ilmu, termasuk ilmu pengurusan dan sistem. Jangan ditertawakan agama kita kerana kesilapan kita dalam mengurus.."


Pertemuan hari itu sungguh bermakna. Banyak ilmu dan nasihat yang saya bawa pulang. Sebelum memberi kuliah, saya 'dikuliahkan' terlebih dahulu oleh beliau..

Peristiwa jagung, pertemuan terakhir..

Paling saya ingati, tatkala kami menghantar beliau pulang dari kuliah. Oleh kerana ketika itu beliau sudah uzur, beliau meminta kami mengambil dan membawa beliau pulang dari tempat program. Tatkala sebelum sampai di rumahnya, beliau meminta kami berhenti di tepi jalan dan membeli jagung.

Lalu kami berhenti dan membelinya. Lalu kami meneruskan perjalanan. Setibanya dirumahnya, dihulurnya jagung itu kepada kami untuk kami bawa balik. Beliau menghadiahkan kepada kami. Katanya: "Makanlah, pemberian dari ana.."


Sungguh, dalam setiap tindakan beliau penuh didikan..

Kali terakhir didikan yang saya terima yang saya paling ingati hingga ke saat ini, adalah ketika di dalam satu tamrin. Beliau ketika itu dijemput sebagai pengkuliah, dan saya pengerusinya. Ketika saya membawanya masuk ke majlis, dan duduk dihadapan. Lalu saya bersalam dengannya.

Ketika bersalam itu, beliau menggenggam tangan saya dengan erat dan kuat. Lalu beliau berkata kepada semua hadirin yang ada, "Baginda Rasulullah s.a.w, bersalam begini.." Beliau menunjukkan caranya. "Dan memandang mata orang yang disalamnya.." Lalu beliau merenungi mata saya.. Di dalam hati saya berbisik: "Ya Allah.. murni sungguh didikan Ustaz Yahya.."

Di dalam kuliah itu, kata-katanya yang masih terpahat: "Akhi, ana rasa ini mungkin pertemuan terakhir kita. Ana tak pasti boleh berjumpa lagi dengan antum..." Saya lihat di kelopak matanya bergenang.. Dan nasihatnya pada hari itu sangat lain daripada biasa yang saya ikuti.

Rupa-rupanya, memang benar kata beliau. Itulah saat terakhir saya bertemu dengannya. Sehinggalah hari ini saya mendengar khabar pemergian beliau..

Peninggalan



Banyak pusaka yang beliau tinggalkan. Yang paling bermakna adalah tarbiyah dari tangan dan tutur kata-katanya. Dan dua buah bukunya yang saya masih simpan dan gunakan sebagai rujukan apabila saya dijemput memberi pengisian kuliah di dalam tamrin-tamrin.

Kepiluan mengiringi pemergian beliau. Namun, sebutir permata yang hilang tidak sama penggantinya dengan dengan intan mahupun emas. Biarlah jasadnya berlalu pergi, namun tarbiyahnya menjadikan saya manusia yang beriman seperti hari ini. Roh dan nuraninya masih membasahi jiwa dan hati ini.

Al-Fatihah buat murabbiku yang dirindui. Moga kita berkesempatan bertemu 'disana'...

Ustaz Haji Yahya bin Haji Othman
(27 September 1939 - 14 Jun 2012)

Monday, June 11, 2012

Masihkah kita punya 'perasaan' dengan Allah?

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh


Kita adalah sebagaimana perasaan dan sangkaan kita dengan Allah s.w.t. Setiap insan, sentiasa memerlukan kebergantungan dan pengharapan kepada Allah dalam segenap perkara. Meskipun kadangkala manusia tersebut ingkar, berbuat maksiat dan berdosa.

Pemberian dan kurniaan Allah s.w.t juga bergantung kepada bagaimana cara, perasaan, sangkaan dan kedudukan hamba-Nya itu di sisi-Nya. Namun, ini bukan bermaksud Allah s.w.t itu memerlukan makhluk-Nya. Maha Suci Allah yang sentiasa terpelihara daripada mana-mana keperluan kepada makhluk.

Kita kadangkala selalu berdoa, namun seringkali tidak dimakbulkan Allah. Saya bertemu ramai juga manusia yang datang mengadukan pengharapan lantas kecewa kerana harapan mereka tidak didengari Allah s.w.t, meskipun katanya telah berdoa berulang-ulang kali.

Banyak hakikat ketuhanan yang masih belum difahami oleh sekalian manusia. Tidaklah bermaksud di tulisan ini saya adalah seorang yang paling mengenali Allah.

Tetapi, di dalam perjalanan hidup, ranjau kehidupan, cabaran yang melintasi, ujian yang menimpa, ramai manusia yang disitu tidak mengambil 'signal' dan mesej yang dihantar oleh Allah kepada mereka. Lantas dengan ini mereka sering tersilap tafsir dan tersalah sangka tentang erti dan maksud perjalanan hidup yang mereka lalui itu.

'Baik' dengan Allah

Dalam satu firman Allah s.w.t menyebut: "Barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku (tidak berhubung baik dengan Allah), maka sesungguhnya dia akan mendapat kehidupan yang sempit.." (Taha, 124).

Satu ketika, ada orang bertemu saya dan bertanya: "Ustaz, kenapa doa saya tak dimakbulkan Allah?" "Saya lihat dan pernah berjumpa dengan seorang biasa, dia pernah menceritakan doanya dimakbulkan Allah. Sedang saya, berulang kali doa, masih belum ditunaikan Allah.."

Saya menjawab: "Perhatikan kembali hubungan kamu dengan Allah."

Dengan manusia sekalipun, kita akan berhubung baik dengan orang-orang yang mempunyai kepentingan dengan kita. Dalam urusan bisnes, kita akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada client kita agar mereka tidak akan lari. Begitu juga peniaga yang menjual lauk-pauk misalnya. Dia akan berusaha untuk menghidangkan makanan yang sedap agar pelanggannya akan kembali semula ke kedainya.

Tetapi kita sering terlupa 'memperbaiki' hubungan kita dengan Allah. Kita selalu hadir meminta kepada Allah hanya tatkala kita dirundung kesedihan, kesusahan dan kepiluan. Lalu kita berdoa.."Ya Allah..berilah ini. Ya Allah berilah itu..."

Inilah sikap manusia.

Sedangkan, jika diperhatikan tatacara hidupnya, jauh sangat jika kita katakan untuk Allah tunaikan hajat mereka.. Ibadahnya lintang-pukang, zikirnya hilang, tutur bicaranya angkuh, dibelenggu dosa dan maksiat dan bermacam-macam lagi. Bagaimana Allah mahu menunaikan hajat dan bicara mereka?

Bagaimana seorang manusia yang saban hari selalu menyakiti hati orang lain, menzalimi orang-orang dibawahnya mahu mendapatkan hubungan yang baik dengan Allah? Bagaimana seorang peniaga mahu dilariskan jualan mereka sedangkan ketika ibadah solat serta soal halal haram menjadi perkara remeh bagi mereka?

Bagaimana seorang penuntut ilmu yang berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan terbaik di dalam ilmunya namun dalam masa yang sama meninggalkan ibadah-ibadah utama dan melakukan maksiat kepada Allah, lalu Allah mahu berikan kejayaan dan keberkatan hidup kepadanya?

Bagaimana seorang ayah atau ibu mahu keluarganya diberikan keberkatan, melahirkan anak-anak yang soleh, sedangkan dia sendiri masih belum meninggalkan perilaku jahatnya, dosa dan maksiatnya kepada Allah?

Disempitkan hidup

Bila mana kita jauh dan renggang hubungan dengan Allah, secara automatik, Allah juga akan menjauhi kita. Menjauhi kita dengan tidak dipedulikan kita. Kalau buat maksiat pun rasa tidak berdosa. Dibiarkan kita dengan kehidupan kita walaupun kita seorang yang kaya-raya. Ditutupkan hati daripada kebenaran. Lalu tidak dimakbulkan doanya..


Malah Allah juga akan menyempitkan kehidupan mereka. Maksud disempitkan kehidupan ini adalah hidupnya sentiasa tidak tenang. Merasai sentiasa dimusuhi orang lain walaupun hakikatnya dia tiada musuh. Sentiasa tidak cukup dan puas dengan harta, walaupun didalam akaun banknya sudah memiliki ribuan ringgit. Hidupnya sentiasa gusar, gundah untuk menyelesaikan urusan. Dia akan disibukkan dengan perkara-perkara yang remeh dan tidak berfaedah, walaupun dari cerminan dirinya dia merasakan kerja-kerjanya itu bermanfaat.

Jika demikian, kembalilah semula menilai hubungan kita dengan Allah. Jangan gundah bahawa Allah akan terus meninggalkan kita, masih ada ruang terbuka.

Menjaga hubungan dengan Allah adalah dengan berhati-hati dalam menunaikan syariatnya. Meskipun seluruh manusia mencerca, mengejeknya dan dia menjadi manusia keseorangan. Kekal dengan prinsip Islam walau dimana sekalipun. Antara perkara yang menghampirkan seseorang dengan Allah juga adalah dengan zikir, doa, bersolat dan puasa.

Berusahalah di dalam setiap doa ketika solat, kita mengadu keperitan dan kesusahan hidup yang kita alami, dan menyebut kesyukuran atas nikmat yang masih diberikan disisi. Syukur juga pada ujian kerana ia menggambarkan kita tidak 'buruk sangka' kepada Allah s.w.t.

Sunday, June 10, 2012

Jangan mudah mendakwa diri 'Islam'

Oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

(Gambar Hiasan)

Tulisan kali ini mungkin agak kontroversi dan berlawanan arus. Tetapi ia mungkin hanya bagi mereka yang emosi, fanatik, kurang matang serta tidak menilai dalam sudut yang luas dan menyeluruh di dalam memahami dan menghayati agama Islam yang mulia ini.

Islam hari ini telah teruk diburukkan sama ada oleh golongan musuh Islam yang sememangnya kerja dan matlamat mereka adalah itu, atau diburukkan oleh penganutnya sendiri. Dari sudut ini, kesan yang lebih besar adalah apabila Islam itu dihiaskan dengan pelbagai ketempangan oleh penganutnya sendiri.

Islam sahaja, tidak beriman

Allah pernah menegur orang Arab yang bertemu Nabi s.a.w yang membuat pengakuan mereka sudah beriman. Lalu melalui lidah Rasul-Nya, Allah berkata: "Katakanlah! Kamu (masih) belum beriman. Tetapi katakanlah kamu hanya menyerah diri (yakni beragama Islam), kerana iman itu belum masuk ke dalam diri kamu.." (Al-Hujurat, 14).


Dalam ayat diatas, bukan bermakna Allah tidak mengakui keimanan mereka, tetapi Allah Yang Maha Mengetahui, tahu benar bahawasanya tindakan, penghayatan, amalan orang-orang Arab itu masih belum lagi menepati citarasa dan kesempurnaan bagi seorang yang beriman.


Hari ini, ramai penganut agama Islam mengaku mereka Islam, sedangkan mereka sebenarnya belum Islam. Lebih teruk dan buruk lagi, mereka mengaku mengamalkan cara hidup dan sistem Islam, namun amalan, sikap dan penghayatan tindakan mereka amat jauh sekali.

Jika tidak keterlaluan lagi, lebih memalukan, ada sesetengah golongan yang sering membuat pelbagai dakwaan mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w, para Sahabat, ulama-ulama di dalam bidang-bidang yang mereka ceburi. Antaranya perniagaan, pendidikan, dan sebagainya.

Ketika mereka ini mengeluarkan pandangan dan berucap, mulut mereka dengan mudah mendakwa mengikuti jejak-jejak Nabi s.a.w dan Sahabat yang terpelihara imannya. Lalu menempelkan dakwaan tersebut dengan menyatakan bidang yang kami ceburi ini mengikuti saranan syariat Islam dan mengikut jejak langkah Nabi dan Sahabat yang mulia.

Sungguh buruk perangai mereka ini.

Abdul Rahman Bin 'Auf dan Saidatina Khadijah r.a.

Contohnya dalam bidang perniagaan. Banyak ahli-ahli perniagaan hari ini sering membawa contoh mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. Hujahnya bahawa Rasululullah s.a.w adalah dahulunya ahli peniaga. Selain itu, yang lebih popular adalah dari kelompok jutawan yang mendakwa Abdul Rahman Bin 'Auf sebagai idola, ikutan mereka dalam menjadi seorang jutawan yang berjaya.

Begitu juga yang mendakwa mengikut jejak langkah Saidatina Khadijah Bintu Khuwailid di dalam tokoh perniagaan wanita.

Saya katakan (dengan meminjam ayat tokoh ulama): "Demi Allah! Debu-debu yang berterbangan di kaki-kaki kuda para Sahabat ini lebih mulia daripada kamu..!"


(Gambar Hiasan)

Mereka bercakap di mulut. Pernahkan mereka menelusuri perjalanan dan sirah orang-orang yang mereka sebutkan ini? Saya yakin, jika mereka ini rujuk pun, hanya dalam bab-bab yang memenuhi bidang yang kena dengan perniagaan mereka misalnya strategi bagaimana Abdul Rahman Bin 'Auf menjadi usahawan yang berjaya dengan hanya menjual tali unta.

Pernahkah kita membaca bagaimana diriwayatkan bahawa Abdul Rahman Bin 'Auf itu tatkala pulangnya dari peperangan Uhud, terdapat hampir berpuluh kesan tikaman perang di tubuhnya?

Pernahkah mereka ini mendengar kisah kezuhudan beliau yang mana tatkala satu ketika beliau telah dihidangkan dihadapannya satu dulang roti berserta daging. Lalu Abdul Rahman Bin 'Auf itu menangis teresak-esak. Lalu para Sahabat lain bertanya apa yang menyebabkan beliau menangis. Lalu beliau menjawab: "Rasulullah telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan roti dan gandum.."


Belum lagi dari sudut ibadahnya sehingga dijamin sebagai Sahabat yang dijamin syurga oleh Nabi s.a.w. (Rujukan: Hayatus Sahaba, Muhammad Yusuf Kandhelwi)

Jauh.. Sangat jauh.

Jika diukur dengan ahli perniagaan yang ada hari ini, sangat jauh. Sejauh langit dengan bumi. Hari ini kononnya seorang ahli perniagaan jutawan itu mendakwa dirinya mengikuti jejak Abdul Rahman Bin 'Auf, tetapi sifatnya sangat jauh. Terlalu jauh..

Benarkah seorang ahli perniagaan dan jutawan perlu berdiri sebagai individu yang mewah? Katanya nak menjaga standard sebagai jutawan. Bajunya mesti berjenama, kasutnya mesti yang berharga, keretanya perlu ditukar saban bulan. Kadangkala makan satu malam mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit. Malah apabila berbicara dengannya hanya kedengaran soal-soal kebendaan, wang, dan harta. Mengenai permasalahan umat, jauh sekali.

Kemudian mendakwa dirinya mengikut jejak langkah Abdul Rahman Bin 'Auf?

Bahkan kalau mahu mengambil contoh peribadi Ummul Mukminin Saidatina Khadijah sebagai ahli perniagaan wanita, pernahkah kita membaca sejarah bagaimana Saidatina Khadijah ini diberi gelaran sebagai Saidatina Khadijah At-Thohirah yakni seorang wanita yang suci dan menjaga kehormatan diri. Bahkan diriwayatkan bahawa beliau sangat berhati-hati di dalam berurusan dengan kaum lelaki.

Lihatlah ahli-ahli perniagaan hari ini yang mendakwa mengikut jejak langkah Saidatina Khadijah, benarkah mereka ini mengikut jejak langkah sebenar beliau?

(Gambar Hiasan)
Institusi Islam

Tidak terkecuali institusi-institusi Islam seperti pusat Zakat, jabatan agama dan sebagainya. Namanya sahaja sudah menggambarkan institusi itu gah dalam membangunkan Islam, namun tindakan dan amalannya jauh sekali.

Saban minggu terpampang dalam akhbar dan televisyen jumlah pungutan zakat yang mencecah ratusan ribu malah jutaan ringgit. Namun kita boleh perhatikan disekeliling kita masih penuh orang-orang miskin yang merempat. Malah sebilangan besar daripada mereka beragama Islam.

Dari sudut yang lain, penganut Kristian berlumba-lumba membuat program kebajikan, menghulurkan derma, menganjurkan aktiviti-aktiviti kemanusiaan. Sedangkan dalam masa yang sama Islam hanya dilihat hanya terpenjara di dalam masjid. Sangat menyedihkan.

Ambil keseluruhan

Perkara-perkara sebeginilah antara yang membawa kepada Islam dilihat seorang dan buruk dari kacamata penganut agama lain. Malah sebilangan penganut Islam yang dangkal ilmu Islamnya akan turut terjebak menilai Islam dari sudut yang silap dan salah.

Jika mahu mendakwa diri 'Islam', mesti mengambil Islam sepenuhnya. Jangan ambil suku-suku, atau ambil ikut suka dan memenuhi kehendak nafsu. Lalu ditinggalkan yang tidak berkenan di hati dan perilaku. Orang-orang bukan Islam akan menilai penganut Islam betapa rendahnya nilai keislaman mereka.

Islam sebenarnya tidak salah. Islam agama yang benar dan tinggi. Yang silapnya adalah penganutnya yang gagal memahami Islam, atau memahami Islam dari sudut yang salah, kemudian dengan kefahaman tersebut mereka menggunakan agama Islam didalam kehidupan mereka. Lagi teruk dengan terang-terangan mendakwa dirinya mengikuti amalan dan penghayatan Islam yang sebenar dalam bidang hidup mereka.

Akhirnya lahir manusia seumpama Irshad Manji yang telah tersilap menilai Islam melalui kebodohan penganutnya..

Saturday, June 9, 2012

Kembali dengan "Kembara yang singkat"

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Saya mula menulis kembali di dalam blog ini. Sekian lama, saya hanya aktif di laman sosial. Kini ingin menulis, mencatat dan menukilkan kisah-kisah, isu, peristiwa dan apa yang difikirkan bermanfaat untuk tatapan masyarakat.

Dulunya, di blog 'Secawan Kopi', saya banyak menyentuh isu-isu mahasiswa dan anak muda. Ini kerana ketika itu saya berada dalam kelompok dan alam mahasiswa. Di sini, transisi dan penulisan saya berubah. Saya ingin menulis mengenai kehidupan dan hakikatnya, mengenai agama saya, kisah-kisah kehidupan yang bermanfaat dan realiti manusiawi.

Saya cuba menulis dengan lebih matang, melihat kepada segenap aspek dan sudut sebelum mengeluarkan idea-idea. Sebenarnya, inilah saranan daripada agama kita agar membuat penyelidikan terhadap satu-satu peristiwa yang berlaku, menghayatinya, mengaitkannya dengan agama lantas membuat kesimpulan yang akhirnya rumusan tersebut kembali kepada Tuhan, Pencipta kita.


Mengapa 'Kembara yang singkat'?

Saya ditanya, mengapa temanya 'Kembara yang singkat'? Jawabnya, sebuah kehidupan adalah sebuah kembara atau musafir. Dalam satu peristiwa, seorang Sahabat r.a. satu ketika menziarahi Baginda Nabi s.a.w. Tatkala tiba di rumah Baginda, Sahabat ini melihat bekas-bekas pelepah tamar dibelakang tubuh Baginda.

Lalu ditanyanya Nabi: "Mahukah aku carikan tempat tidur untukmu Ya Rasulullah yang lebih sesuai daripada ini?"

Baginda s.a.w menjawab: "Tak perlu. Sahabatku, jadikanlah olehmu dunia ini sebagai seorang pengembara yang sedang bermusafir lalu dia singgah di sebatang pohon untuk berteduh untuk melepaskan lelah. Setelah itu, akan berlalu untuk meneruskan perjalanannya.." (Sumber: Ruyadhus Solehin)

Apalah yang ada di dunia yang sementara ini.. Seorang yang dianugerahi kekayaan yang banyak, akhirnya akan susut juga setelah digunakan. Begitu juga seorang yang ditimpa sakit yang sangat derita. Ia akan berakhir juga sama ada dengan kesihatan, atau menemui kematian.

Sungguh singkat dunia ini. Tiada apa yang kita boleh yakin dan pasti apa yang ada disisi ini adalah milik kita selamanya. Yang muda beransur tua. Baju yang dipakai akhirnya lusuh. Wajah yang cantik muda akan berubah berkedut apabila tiba usianya. Nafas yang dkurniakan pada hari ini, suatu masa akan terputus jua.

Harapan

Saya mahu menulis kehidupan. Di dalam kehidupan itu ada perjalanan, ada deritanya, ada gembiranya. Ada juga ujian, ada cabaran. Ada kesenangan, ada kepayahan. Ada suka dan dukanya. Ada kisah dan misteri yang perlu dirungkaikan. Dalam melalui denai-denai  itu, manusia ada yang tersungkur, jatuh dan berputus asa. Ada yang kekal di dalam prinsip agamanya.

Semua ini bergantung kepada imannya kepada Allah s.w.t..