Sunday, August 5, 2012

Kerana kanser, aku menemui Al-Quran..

oleh: Mohd Aizat bin Mohd Salleh

Gambar hiasan

Saya mempunyai seorang anak murid yang belajar Al-Quran, umurnya sudah lebih 50 tahun. Tetapi dari segi fizikalnya dia seperti sihat dan kelihatan muda.

Tetapi, dia mempunyai sakit. Sakit kanser. Tatkala awal dia mula mendaftar diri untuk belajar Al-Quran, dia baru sahaja selepas beberapa bulan menjalani kimoterapi, rawatan yang biasa dilakukan oleh pengidap kanser.

Katanya ketika awal mahu belajar: "Lepas saya buat rawatan kimoterapi, banyak ingatan saya yang sudah hilang. Termasuk Al-Quran... Jadi harapnya dapat belajar ini boleh kembalikan ingatan saya.."

Katanya lagi, dia mahu menjadi seorang yang pandai baca Al-Quran semula. Nak betulkan bacaan, dan boleh membaca Al-Quran secara tarannum (berlagu). Akhirnya, matlamatnya dia mahu masuk Musabaqah Tilawah Al-Quran. Saya kagum dengan semangatnya.

Kanser

Apa yang sedikit pelik, suatu hari hampir dua jam saya bersembang dengannya selepas tamat mengaji. Dia ceritakan penyakitnya kepada saya. Kata doktor, berdasarkan medical-report, hospital mengesan sel kanser di dalam darahnya. Tetapi masih tidak mengetahui jenis kanser. Lalu doktor cadangkan agar menjalani kimoterapi.

Selepas kimoterapi, dia mengalami keadaan tubuh badan yang susut. Memang rawatan kimoterapi mempunyai banyak kesan sampingan, terutama kepada otak, antaranya ia mungkin memberi kesan kepada sel-sel otak yang menyebabkan kehilangan ingatan.

Hampir enam bulan dia mengambil cuti daripada tempat kerjanya.

Tetapi selepas membuat pengesanan semula, doktor mengatakan masih belum mengenal punca kanser. Beliau berkata mereka perlu mendapatkan bantuan pakar daripada luar negara yang lebih arif untuk mengetahuinya.

Akhirnya beliau berikhtiar untuk mencuba pula kepada rawatan Islam. Katanya bimbang ada 'benda lain' yang mungkin menganggu kesihatannya. Saya mencadangkan bertemu dengan beberapa ustaz yang saya kenali yang boleh merawatnya.

Keluarga

Beliau menceritakan bahawa isterinya adalah doktor pakar. Pakar di dalam bidang siasatan dan pembedahan. Atau dikenali pakar Patologi. Doktor yang selalu buat post-mortem kepada mayat-mayat yang mati dibunuh, bunuh diri, kemalangan dan sebagainya.

Namun peliknya, isterinya sendiri tidak dapat mengenal-pasti apakah jenis penyakit kanser yang dihadapinya.

Saya sedikit sayu bilamana dia menceritakan perihal keluarganya. Anaknya yang kedua juga telah meninggal dunia akibat daripada kanser. Besar kemungkinan ada diantara ahli keluarga yang juga berisiko untuk terkena kanser, termasuklah dirinya.

Peristiwa yang menimpanya itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada keluarganya. Namun, dari jernih wajah mukanya, ada semangat dan keyakinan untuk beliau menghadapi semua perkara itu. Apa yang penting katanya, biarlah meninggal dunia di dalam belajar Al-Quran.

Sungguh beruntung, Allah pertemukan dia dengan Al-Quran melalui sakit kansernya.

Syukur dengan kurniaan hidup

Syukurlah Allah pertemukan saya dengan orang sebegini. Saya banyak belajar daripada mereka tentang hakikat kehidupan.

Kadangkala apabila kita menginginkan atau menyukai sesuatu, Allah tidak berikan kepada kita. Kerana dari sisi Allah, perkara itu mungkin kurang baik bagi manusia. Begitulah sebaliknya. Bukanlah Allah itu menzalimi, bahkan jauh dari itu Allah sayang pada manusia.

Kata Allah: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Sesungguhnya (hanya) Allah Mengetahui (segala-galanya), sedangkan kamu tidak mengetahui.." (Al-Baqarah: 216).

Kepong (11:30 a.m)