Saturday, January 10, 2015

Cerpen: UTUSAN


(Bahagian Satu)

REMANG senja makin kelihatan. Di pinggir hutan jalur-jalur merah timbul menandakan burung-burung pasti akan terbang pulang ke sarangnya. Suasana gelap sedikt menyelubungi suasana.

“Adik..masuk. Dah gelap ni..”, laung Mak Sufiah dari dalam.

“Baik mak.”. Lamunan Faiz terbang bersama angin senja sambil melangkah menuju ke rumahnya. Capalnya ditanggalkan, lalu terus mencapai tualanya.

“Kan mak dah pesan...tak usah ke pinggir hutan tu lagi.”

Ntah apa-apa ada kat situ. Kau ni, makin mak pesan jangan, itulah yang nak sangat buat..” Leter emaknya. Tangannya cekap melipat baju yang dijemur petang tadi lantas disusun teratur. Selepas ini dia akan menyiapkan makan malam untuk anaknya sebelum menunaikan fardhu Isyak dan melelapkan mata. Itulah rutinnya setiap hari. Pemergian suaminya 10 tahun dulu, meninggalkan seribu satu tanggungjawab yang tidak berkesudahan.

10 Muharam 1427 Hijrah, Khamis.

Usai bunyi loceng tamat sekolah, Faiz bergegas keluar dari kelas menuju jalan kebiasaannya pulang. Jalan bertanah merah itu digunakan sejak tahun satu dia bersekolah. Di kiri dan kanan pokok kelapa sawit megah berdiri tegak menanti buah dikait. Kadang-kadang kalau berkesempatan dapat melihat pekerja upah orang Indonesia mengait buah.


‘Macamana pun, hari ni aku mesti ke pondok tu.’ Itulah impiannya. Sudah lama dia menginginkan untuk menjejak kakinya ke pinggir hutan itu. Walau dilarang keras berkali-kali. Namun di hatinya semacam ada perasaan naluri membuak-buak untuk ke sana. Dia tidak percaya ada hantu sebagaimana buah mulut orang kampungnya.

Dia meredah semak-samun hutan. Tangannya cekap menepis dan menampar beberapa ekor nyamuk yang hinggap mencuri-curi hisap darah. Tanpa disedari, dia sudah pun tiba di kaki bukit. Di hadapannya tersergam pondok yang seakan hampir roboh andai ditiup angin. Di belakang seperti jamban usang, untuk kegunaan pemiliknya. Rumah ini agak antik kerana terdapat anjung di hadapannya.

“Assalamualaikum..” Tiada sahutan.

“Assalamualaikum..” Sepi.

“Anak cari siapa?” Suara parau dari arah belakang mengejutkan Faiz. Ditolehnya, terlihat seorang tua bertongkat tersenyum.

“Oh..tak ada. Saya ..saya..” Tersekat-sekat kerongkongnya untuk menjawab.

“Jangan takut nak. Pak cik orang biasa juga.” Lembut orang tua itu menjawab. Tangannya memaut bahu Faiz. Agak tersentak Faiz dengan perlakuannya. Namun dia menenangkan dirinya.

“Pak cik tahu..kata-kata orang kampung tu. Tak apalah, bukan salah mereka..”

“Anak percaya hantu?” soal orang tua itu.

“Tak, pak cik.” Jawab Faiz. Dia sudah tidak gementar. Daripada rona wajah orang tua yang jernih itu, dia tidak mengatakan bahawa orang tua itu jahat. Dia mengagak usianya mungkin melampaui 70-an. Kedut di tangannya dan garis-garis di dahi menyerlahkan lagi panjang jarak hidupnya. Walaupun begitu, jarinya sentiasa memetik-metik buah tasbih.

“Mari naik, nak.” Pelawa orang tua itu. Faiz menuruti.


(bersambung)