Tuesday, July 31, 2012

Berbakti kepada dua orang tua: Fahamilah kehendak mereka, bukan kehendak kita..

oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman: "Dan Kami (Allah) perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Ku (tempat) kembalimu." (Surah Luqman, 31).

Di dalam ayat yang lain, Allah turut menyatakan: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat baik (santun) kepada kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sesekali engkau berkata 'ah' terhadap mereka, dan janganlah engkau menengking mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan-santun dan lemah lembut." (Surah Al-Isra', 24).

Di dalam Al-Quran, terdapat ayat-ayat yang diturunkan Allah, atau ayat perintah yang berbentuk secara langsung, atau tidak langsung. Atau secara jelas dan samar-samar. Andainya kita seorang yang rajin membaca Al-Quran, kita akan mendapati banyak ayat-ayat suruhan dan larangan Allah yang diturunkan secara jelas, ia mengandungi perintah atau suruhan yang sangat penting.

Antaranya persoalan hukum Allah (Hudud), juga termasuk ayat diatas.

Berbuat baik kepada ibu bapa

Jika kita membaca ayat diatas, secara jelas dan tanpa tafsiran, Allah memerintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Secara terang-terangan Allah menunjukkan satu persatu bagaimana seseorang manusia itu perlu berbuat baik kepada kedua orang tuanya, iaitu menyantuni mereka apabila keduanya atau salah satu sudah tua, dan tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat, atau terasa hati mereka.

Bercakap untuk berbuat baik kepada kedua orang tua memang menang, tetapi untuk melaksanakannya sangat payah. Ramai orang berkata bahawa mereka telah berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Antara 'berbuat baik' yang sering dilakukan oleh anak-anak adalah dengan memberi mereka duit setelah mereka mendapat pekerjaan. Dan ada juga yang membelikan rumah dan kenderaan. Tidak ketinggalan, ada yang membawa ibu bapanya mengerjakan umrah.

Semua ini adalah tafsiran 'berbuat baik' oleh anak-anak di zaman ini.

Persoalannya, adakah dengan kesemua itu, kita sudah benar-benar berbuat baik kepada kedua orang tua kita?

Rumah orang tua

Setiap kali jika diizinkan Allah, saya menziarahi ke rumah-rumah orang tua yang menempatkan ibu-bapa yang sudah berumur dan lanjut usia. Setiap kali itu saya sering tertanya-tanya, dimanakah anak-anak mereka? Jikalau pun anak-anak mereka tidak ada, dimanakah saudara-saudara mereka?

Persoalan ini selalu menganggu fikiran saya. Dan saya pasti majoriti orang-orang tua yang tinggal disitu masih mempunyai anak-anaknya. Pernah sekali saya mendengar cerita seorang orang tua yang ditinggalkan oleh anaknya dan dihantar ke rumah itu kerana menuruti kehendak isterinya yang tidak suka kepada ayahnya.

Saya juga tertanya-tanya kepada anak-anak yang ada hari ini, yang sedang sibuk bekerja, yang sedang sibuk menguruskan keluarga, anak dan isteri. Adakah kita benar-benar sudah berbuat baik kepada kedua orang tua.

Ini kerana, berbuat baik dan membalas jasa kedua orang tua adalah satu perkara yang sangat berbeza. Untuk berbuat baik, kita boleh dan mampu lakukan. Tetapi untuk membalas jasa, tidak sesekali akan terbalas jasa kedua ibu bapa kita walau apa kebaikan yang kita lakukan sekalipun kepada mereka.

Ibu melahirkan kita, sedangkan kita tidak mampu membalas nilai sebuah kelahiran itu. Ayah berkorban untuk ibu, mencari rezeki yang halal untuk disuapkan ke mulut kita, sehinggakan kita boleh membesar dan bekerja sampai ke hari ini. Juga tidak mampu untuk dibalas. Untuk membalas jasa mereka, tidak mungkin bagi kita.

Kehendak ibu bapa

Ramai kita tersilap dalam berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ada yang setiap bulan menghantar wang kepada ibu dan ayahnya di kampung. Ada yang menyediakan rumah dan kenderaan. Ada yang berusaha mendapatkan pekerjaan yang hebat-hebat, agar ibu bapa mereka berbangga dengan kerjaya mereka. Tetapi, pernahkah kita bertanya kepada mereka, apakah wang dan perkara-perkara itu yang mereka perlukan?

Sebenarnya, apabila kita merujuk Al-Quran, perkara yang lebih penting daripada itu semua adalah 'menjaga hati' ibu dan ayah kita. Lebih-lebih lagi apabila mereka sudah lanjut usia. Lebih utama lagi, tatkala kedua mereka sudah beransur tua atau ada diantara mereka yang sakit. Sukar bagi seorang anak untuk menjaga hati kedua orang tua mereka. Apatah lagi apabila ia bertentangan dengan kehendak kita.

Kehendak kedua ibu bapa kadangkala tidak seperti yang kita inginkan. Misalnya di dalam memilih pekerjaan, dan membuat satu-satu keputusan. Dalam hal ini, anak-anak sering merungut dan mengatakan bahawa ibu bapanya tidak memahami mereka, tidak mengerti perasaan dan kehendak mereka. Sedangkan, pernahkah mereka terfikir akan kehendak dan perasaan ibu bapa mereka?

Ya, bukan semua ibu bapa adalah soleh dan baik. Ada anak-anak yang dilahirkan di dalam keluarga yang bermasalah. Tetapi itu bukan penyebab kepada kita tidak boleh menjaga hati mereka. Ini kerana, dalam Islam jelas bahawa menjaga hati adalah pada perkara-perkara yang tidak menyalahi syariat sahaja. Justeru, selagi kedua orang tua tidak menyalahi syariat, tidak menjadi sebab untuk kita tidak mengingkari mereka.

Kerenah orang tua

Kebiasaannya, ramai yang tidak mengendahkan apabila nampak orang tua seperti ini ditepi jalan.

Tidak ramai yang mampu untuk 'bertahan' dengan orang-orang tua. Menjaga kedua orang tua sangat berbeza dengan menjaga bayi yang kecil. Ramai orang boleh menerima kerenah dan perangai bayi kecil yang comel yang menangis dan merengak, tetapi betapa banyak orang dan anak-anak di zaman sekarang yang sukar menerima dan menanggung kerenah kedua ibu bapa mereka yang sudah tua.

Ramai ibu dan ayah boleh membasuh najis bayi yang kecil seandai si kecil itu 'berak' di mana-mana. Tetapi berapa ramai anak-anak yang sanggup membasuh najis ibu bapanya yang tua dan nyanyuk yang 'berak' merata-rata?

Saya yakin, tidak ramai yang mampu. Sebab itulah lahirnya pusat jagaan orang-orang tua. Bukan kerana mereka tidak ada anak-anak, tetapi anak-anak mereka 'tidak tahan' menjaga dan berhadapan dengan kerenah ibu bapanya yang lanjut usia.

Demikianlah Allah s.w.t telah awal-awal mengingatkan kita di dalam Al-Quran mengenai itu secara terperinci dan jelas. Kerana tidak ramai yang boleh menerima tanggungjawab menjaga orang-orang tua.

Apa yang kita buat, kita akan dapat

Akhirnya, di dalam dunia ini, falsafah yang sering perlu kita ingat adalah 'apa yang kita buat, kita akan dapat kembali'. Jika hari ini kita membuang ibu bapa kita, kita mengherdik ibu bapa kita, kita marahkan ibu bapa yang tua kerana menyusahkan kita, kita meninggalkan ibu bapa yang sudah tua ke rumah jagaan orang tua, kita tidak mengendahkan nasihat mereka, kita membiarkan mereka ketika mereka sakit, suatu hari nanti, kita akan menghadapinya semula.

Perkara yang sama akan dibuat oleh anak-anak kita, seperti yang kita telah lakukan kepada kedua ibu bapa kita dahulu. Kita akan dapat kembali apa yang kita pernah buatnya dahulu...