Monday, June 17, 2013

Catatan Juvana 5 : Selamat berpisah..


Tanggal 29 Mei lalu adalah hari terakhir saya mengajar Al-Qur'an di Asrama Sentosa, Sentul. Pihak pengurusan asrama melalui wardennya menetapkan kelas diadakan selama dua bulan sahaja untuk mengajar remaja di sini. Oleh kerana faktor kekangan kewangan dan sebagainya.

Banyak pengalaman yang saya timba di sini. Saya mengenali banyak insan, serta seribu satu ragam kehidupan manusia. Memang sebelum ini saya jarang bertemu insan-insan seperti mereka, tetapi selama dua bulan berkampung di sini, saya mempelajari kesemua itu.

Dalam tulisan-tulisan saya yang lepas, saya sudah banyak bercerita mengenali zaman lampau remaja di sini. Bermacam-macam cerita dan keadaan mereka.

Sesekali saya terfikir, apa yang mengubah mereka menjadi seperti itu.

Memang secara logik difikirkan, ia adalah kesilapan diri mereka sendiri memilih jalan yang mereka lalui. Selain mungkin faktor rapuhnya hubungan kekeluargaan remaja-remaja ini.

Salah satu faktor yang mungkin tidak terlepas yang 'harus' dipersalahkan adalah mereka juga adalah sebahagian insan yang menjadi mangsa sistem negara yang tidak berapa betul.

Mangsa sistem

Mereka hidup dan menjalani sistem ini tanpa dikawal dan dipandu dengan kesedaran agama menyebabkan langkah mereka tersasar jauh.

Apakah sistem itu? Kita sendiri mengetahuinya.. Berapa banyak ruang dan peluang untuk membuat jahat yang terhidang dihadapan mereka berbanding ruang dan peluang untuk berbuat baik?

Beberapa remaja di sini antaranya pernah terlibat dengan penzinaan. Bila ditanya mengapa? Katanya usia terlalu muda untuk kahwin, keluarga tidak benarkan dan alasan-alasan yang sama didengari. Dalam masa yang sama, ruang-ruang penzinaan terbuka luas di internet dan dimana-mana. Mana mungkin remaja semuda usia mereka yang tidak dibimbing akan terus 'bertahan' dengan cabaran tersebut.

Ia adalah realiti.

Mereka mungkin adalah sebahagian kelompok kecil yang diberi peluang untuk menebus kesilapan lalu. Tetapi diluar sana majoriti anak muda yang seusia dengan mereka masih bebas seperti mereka dahulu, malah mungkin turut melakukan perkara yang sama.

Selamat berpisah

Saya tinggalkan remaja-remaja ini dengan pesanan agar mereka terus menghubungi saya apabila dibebaskan kelak. Mereka meninggalkan alamat facebook masing-masing kepada saya. Sebahagian mereka dibebaskan paling awal pada bulan Julai sehinggalah paling lewat, pada tahun depan.

Dan saya tidak menjamin apakah apabila mereka keluar, mereka akan berubah atau kembali kepada kehidupan mereka yang dahulu.

Hanya masa dan doa yang menentukan segalanya..

29 Mei 2013 (Selasa)
Asrama Sentosa,
Sentul, KL.

Monday, May 13, 2013

Catatan Juvana 4: Kisah lampau



Hari kesepuluh saya ke sini. Minggu lepas, dua hari saya bercuti pulang ke kampung sempena pilihan raya umum.

Hari Ahad mengundi dan tengah malamnya pengumuman, dan esoknya Isnin diisytiharkan cuti khas di negeri Selangor. Hari Selasa, saya menghantar adik saya ke asrama di Dengkil.

Petang ini di dalam kelas, saya tidak melihat kelibat Tengku (bukan nama sebenar). Sudah dua minggu wajahnya tidak kelihatan. Saya bertanya kepada pelatih yang lain, "Tengku mana?"

"Dalam lokap ustaz.." jawab mereka.

"Lokap mana?" tanya saya semula.

"Lokap tepi tu.. Masa gotong-royong hari tu, dia lari sampai ke Bandar Baru Sentul.. Tapi, polis sempat tangkap. Bawa masuk dalam lokap tu." mereka menjelaskan. Baru saya faham.

Rupanya, walaupun asrama ini sudah dikelilingi dengan pagar besi dan dijaga oleh pegawai polis, namun di dalam asrama ini terdapat satu bilik yang diberi nama lokap oleh warga di sini.

Memang kelihatannya seperti lokap. Yang hanya ada tempat tidur, dan sebuah tandas untuk buang air atau mandi. Makan pun tidak bercampur dengan penghuni lain.

Sebelum kelas, saya sempat bersembang dengan pegawai polis wanita yang dipanggil 'emak' oleh warga di sini. Katanya lokap itu khas untuk mereka yang 'buat hal' di sini, atau mereka yang kena penyakit berjangkit seperti kudis buta dan sebagainya.

Yang 'buat hal' itu temasuk lari dari asrama dan pihak polis berjaya tangkap. Atau mereka yang bergaduh atau masalah-masalah lain yang berkaitan.

Saya menghulurkan muka saya di dalam lokap itu. Saya lihat memang ada seorang remaja di situ.

"Ustaz.." Tengku memanggil nama saya.

"Ya, Tengku.." saya membalas dengan senyuman.

"Bila nak sambung mengaji? Kawan-kawan dah jauh dah tu.." Saya bertanya.

"Tengoklah ustaz. Kalau saya boleh keluar, saya memang nak mengaji.. Hari tu buat hal sikit.." Katanya sambil tersenyum.

Kisah lampau

Tak susah nak memahami gelagat dan perangai remaja di sini. Semua mereka ada kisah hitam masa lampau masing-masing.

Dalam sembang-sembang saya dengan mereka ketika mengaji, saya selalu 'detect' antara kesilapan lampau mereka.

"Ustaz, kalau air arak kena dekat baju atau tangan, kena samak tak?" Azzam (bukan nama sebenar) bertanya suatu hari.

"Tak payah samak, basuh je.." jawab saya. "Azzam biasa kena air yang mana satu?"

"Whiskey.." jawabnya spontan. Disambung dengan gelak rakan-rakan mereka.

"Lagi..jenama apa lagi?" soal saya lagi.

Azzam menyebutkan satu persatu, dan kadang-kadang disambung oleh kawan-kawannya. Saya pun lupa apa jenama yang disebutkan mereka. Agak banyak juga.

Saya hanya senyum. Itu kisah lampau mereka. Saya dapat bayangkan bagaimana usia remaja mereka dihabiskan pada ketika itu.

Suatu hari saya buat satu aktiviti iaitu saya minta mereka senaraikan 10 cara bagaimana hendak dapatkan wang sepuluh ringgit.

"Curi bank.."

"Curi dompet mak ayah.."

"Jual besi buruk.."

Dan macam-macam jawapan lagi yang menggambarkan pengalaman, minda dan tahap pemikiran mereka.

Tidaklah bermaksud hendak merendah-rendahkan mereka, malah saya seronok berada di sekeliling mereka. Saya dapat tahu pengalaman yang saya tak pernah lalui, tetapi mereka pernah merasai. Dan mereka juga telah insaf dan dihukum.

Satu ketika saya terfikir dan termenung. Sudah habis 'pihak' untuk dipersalahkan, tetapi tetap tidak akan ada penyelesaian, melainkan melangkah kembali laluan asal agama, iaitu Islam.

13 Mei 2013 (Isnin)
Asrama Sentosa, Sentul

Tuesday, April 23, 2013

Catatan Juvana 3: "Nasib baik bukan Lady Gaga atau Aaron Aziz!"



Dua hari lepas adalah hari ke-6 saya menjejakkan kaki berbakti di sini. Suasana masih seperti biasa.

Asrama ini terletak betul-betul di simpang jalan menghala ke Jalan Ipoh dan pusat bandar. Memang sibuk, terutama apabila menjelang jam 5 petang, waktu warga kota mula tamat kerja dan pulang ke rumah.

Namun, hiruk-pikuk itu tidak kedengaran apabila saya melangkah ke dalam asrama. Saya mesti melalui pagar besi yang dikawal oleh seorang polis untuk masuk ke perpustakaan mereka, tempat pengajian pelatih di sini.

Gambar tidak dapat banyak saya sertakan. Maklumlah pengawal keselamatan melarang apa jua bentuk kamera di bawa masuk. Kalau nak ambil gambar pun secara curi-curi.

Hari ini, kelas saya mulakan dengan mendapat perkhabaran bahawa terdapat 3 pelatih baru masuk. Ketiga-tiganya dibawa dari Kuantan, Pahang.

Saya menemuramah mereka, bertanyakan sekolah dan tempat asal mereka. Rupanya mereka dari kampung yang sama.

Sebelum memulakan pengajian, saya buat sedikit aktiviti iaitu kuiz. Sengaja mahu menduga pengetahuan mereka dalam ilmu Al-Quran dan agama.

Saya bertanya soalan asas-asas Al-Quran seperti jumlah surah dalam Al-Quran, surah paling pendek dalam Al-Quran, surah yang berasal dari nama binatang.

Ada yang boleh dijawab, dan ada yang tidak dijawab kerana tidak tahu.

Saya juga bertanya soalan-soalan asas fikah dan ibadah.

Lady Gaga, Aaron Aziz

Ada satu soalan yang membuatkan saya tersenyum apabila bertanya mereka. Saya tanya: "Apa nama mazhab yang kita amalkan di Malaysia?"

Ada menjawab Al-Ghazali, ada menjawab As-Sudaisi, dan tak kurang yang menjawab Al-Bukhari.

Saya senyum sendiri dan memperbetulkan mereka.

Mungkin nama mazhab itu tidak penting bagi mereka, tapi apa yang saya senyum adalah kerana nama-nama tokoh besar Islam masih 'lekat' di bibir mereka seperti yang mereka sebut.

Nasib baik tak sebut Lady Gaga, atau Aaron Aziz.

Asrama Sentosa
Bandar Baru Sentul
5:14 pm

Wednesday, April 10, 2013

Tasik kehidupan..


Hari ini, kelas pengajaran tamat di Jalan Kuching sekitar jam 11:45 pagi. Saya bergegas untuk ke Institute of Medical Research (IMR) di Jalan Pahang untuk kelas jam 1 petang pula.

Melalui Jalan Kuching, saya menyusur ke Jalan Tun Razak. Saya singgah sebentar di Tasik Titiwangsa, hajat membasahkan tekak yang kering.

Saya berhenti gerai makan tepi tasik, membeli sebotol air mineral.

Dari gerai, saya melihat kelibat dua budak kecil bermain di gigi tasik. Kelihatan di tangan mereka ada sesuatu.

Saya menghampiri mereka dan duduk di bangku batu.

Di bangku tersebut, terdapat sebotol air yang dalamnya berisi ikan-ikan kecil yang masih hidup, disamping beg sekolah.

"Buat apa dik?" tanya saya pada seorang budak dalam lingkungan 5 atau 6 tahun.

"Memancing.." jawabnya ringkas. Dia kelihatan khusyuk memasukkan ikan kecil di mata kail untuk dijadikan umpan.

Kemudian, tali pancing itu dibaling ke tasik.

Khusyuk memancing.

Ikan!

Sambil-sambil melihat mereka memancing, saya berfikir, usia semuda ini adakah sepatutnya mereka disini?

Ketika rakan-rakan seusia dengan mereka menimba ilmu di bilik darjah, mereka di sini menimba 'ilmu' di tepi tasik.

Mereka pergi ke sini sendiri, tanpa ditemani ibu dan ayah.

Apabila bosan dan lapar, mereka akan pulang ke rumah. Dan mungkin ini aktiviti seharian mereka yang berbeza dengan teman sebaya mereka.

Dapat ikan!

"Ikan...!" jerit seorang budak.

Oh, rupanya mata kail mereka diragut ikan.

Saya tersenyum melihat keletah mereka. Jam di tangan sudah 12:45 tengahari. Tak perasan saya sudah berada lama di sini.

Moga berjumpa lagi dik..

Monday, April 8, 2013

Catatan Juvana 2: "Apa yang membawamu ke sini?"



Petang tadi adalah hari ketiga saya mengajar di Asrama Sentosa. Pusat tahanan yang menempatkan remaja yang dikenakan hukuman kes-kes Juvana.

Kelas kali ini dihadiri seorang peserta baru yang baru dimasukkan ke pusat ini. Namanya Firdaus (bukan nama sebenar), berasal dari Wangsa Maju.

Di sini, penghuninya tinggal di lain-lain tempat. Ada berasal dari Kelantan, Terengganu. Tetapi kebanyakannya dari Kuala Lumpur dan Selangor. Ada juga dua orang dari Indonesia.

Kesemuanya bercampur. Mereka kelihatan mudah mesra.

Mukjizat Al-Quran

Hari ini, saya mulakan kelas dengan menceritakan mukjizat Al-Quran. Saya memetik akhbar Sinar Harian yang memaparkan Al-Quran yang terselamat ketika surau dihujani peluru di Lahad Datu.

Semua remaja di sini khusyuk mendengar.

Saya bertanya: "Apa yang kamu faham mengenai mukjizat?"

"Keajaiban, ustaz." Seorang menjawab.

"Benda pelik.." Seorang lagi menjawab.

"Baik... Bagus, semua jawapan tu benar."

"Ada sesiapa di sini yang pernah mengalami perkara pelik dalam hidupnya?" Soal saya.

Semua diam. Semua tidak menjawab.

Saya teruskan dengan pengajian seperti biasa

Doa

Usai kelas, kami solat asar berjamaah. Sebelum bersalam, saya sempat memesan kepada mereka agar mengamalkan satu doa yang diajar oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Baginda berpesan agar jangan tinggalkan doa ini setiap kali selepas solat.

Doanya (terjemahan): "Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatimu, mensyukuri nikmatmu, dan memperbaiki ibadah kepada-Mu.."

Moga-moga mereka menjadi remaja yang soleh.

Saya teringat kata-kata warden asrama. Saya bertanya: "Apa kesalahan yang membawa mereka ke sini?"

Warden itu menjawab: "Banyak ustaz. Ada lari dari rumah. Bertindak samseng. Mencuri dan macam-macam lagi."

"Dulu, ramai penghuninya. Ada sampai dalam 40 orang. Tapi semakin berkurang selepas mereka tamat menjalani hukuman mahkamah." Sambung warden itu lagi..

Asrama Sentosa
Jalan Sentul
5:03 pm


Thursday, April 4, 2013

Catatan Juvana 1: "Dapat baca Yasin bila ibu dan ayah saya meninggal.."


Petang tadi, saya singgah kembali ke Asrama Sentosa, Sentul. Meneruskan amanah yang diberikan, mengajar Al-Quran kepada 15 remaja di sini.

Minggu lepas, saya dihubungi ustaz Abdullah, pengarah ATC Kuala Lumpur menawarkan tempat mengajar kepada remaja di Asrama Sentosa. Katanya, remaja yang bermasalah kes Juvana.

Saya berfikir dua kali. Ia cabaran yang besar.

Oleh kerana dari dulu, saya suka buat perkara yang mencabar keupayaan saya, lalu saya terima.

Dan dalam sesi petang itu, saya menyambung pengajian semalamnya. Iaitu pengenalan huruf Al-Quran.

Semua memberi komitmen, hinggalah selepas lebih 45 minit, masing-masing sudah tidak memberi tumpuan. Ada yang bersembang sesama sendiri. Ada juga yang mengganggu satu sama lain.

Pengajaran saya teruskan juga. Hinggalah ke penghujung kelas berbaki sepuluh minit. Saya minta semua mengeluarkan pensil atau pen.

Lalu saya berikan mereka kertas seorang satu.

Jawapan

"Ustaz minta, tolong tulis di kertas itu jawapan kepada persoalan yang ustaz akan tanyakan sekejap lagi.." saya memberi arahan.

Kelas sedikit hingar. Mungkin mereka tidak faham arahan yang saya berikan. Saya ulang kembali dengan bahasa yang mudah, "Jawab apa yang ustaz tanya. Tulis di kertas yang diberi.."

Baru mereka bertindak. Mungkin mereka baru faham.

"Baik... Soalannya ialah, apa yang kamu dapat buat, sekiranya kamu boleh membaca Al-Quran dengan baik..?" Itu persoalannya.

"Apa ustaz?" tanya seorang remaja.

"Jawab soalan yang ustaz tanya ni.. Apa perkara yang kamu boleh buat, seandainya kamu boleh membaca Al-Quran." ulang saya. "Ustaz beri 5 minit, tuliskan.." kata saya lagi.

Membiarkan mereka sahaja yang menulis huruf Al-Quran, walaupun 'tidak secantik' mana.

Masing-masing mula menulis.

Saya merenung wajah mereka satu persatu. Ada sebahagian wajah jernih yang saya tidak sangka mereka boleh berada di tempat seumpama ini.

Berlalu 5 minit, saya menyuruh mereka berhenti menulis.

"Syafiq (bukan nama sebenar), apa jawapan kamu..?" tanya saya.

Remaja itu seperti malu untuk bercakap. "Err.. Dapat pahala, ustaz.."

"Bagus Syafiq.." Saya memuji. Dia tersenyum dan duduk.

"Orang yang baca Al-Quran, satu huruf dapat satu pahala dan diganda sepuluh kali. Kalau 15 huruf, 150 pahala kita dapat.." saya menyambung.

'Ok.. Daus (bukan nama sebenar). Apa jawapan kamu pula?" saya menunjukkan tangan kepadanya.

"Dapat pahala, ustaz." jawabnya.

"Jawapan lain? Ustaz tak mahu yang sama.."

"Err.. Dapat baca Yasiin bila ibu dan ayah saya dah meninggal nanti.."

...

Catatan berakhir.

Asrama Sentosa, Jalan Sentul.
5:05 pm

Tuesday, April 2, 2013

"Putu mayam 2 ringgit!"


Hari ini seperti biasa selepas mengajar di Masjid, saya mendekati seorang lelaki India Muslim yang menjual putu mayam dengan motorsikal.

Saya tidak kenalnya, tapi selalu nampak bila dia solat maghrib dan isyak di masjid ini. Berkopiah lusuh warna putih. Wajahnya tampak tenang.

Selepas menyarung selipar, saya menghampirinya. Seorang jemaah India Muslim yang lain juga datang kepadanya dan terus memesan putu mayam, tetapi dalam bahasa India yang saya tidak faham.

Selepas selesai membungkus, dia menoleh kearah saya. "Berapa mau?" soalnya. "Satu keping 50 sen.." sambungnya lagi.

Saya menjawab: "Bagi 2 ringgit sajalah.."

"Ok." jawabnya, sambil senyum.

Sambil-sambil bungkus, saya bersembang, bertanyakan tempat tinggalnya dan bagaimana pendapatan berniaga putu mayam. Dia menjawab semua soalan saya dan kadangkala tergelak.

Selesai semuanya, saya menyerahkan duit. Dia berterima kasih, dan menghidupkan enjin motor serta beredar.

Dalam kereta untuk pulang, saya teringat kembali perbualan kami.

"Buat putu mayam guna tepung. Kena bancuh, uli dan buat bentuknya. Lepas tu kena kukus." katanya.

"Dalam sehari, boleh buat dalam 50-70 keping. Alhamdulillah, rezeki adalah..." katanya lagi.

Kalau ikut pengiraan congak, 70 keping, pendapatanyya adalah dalam 35 ringgit. Itu belum masuk lagi kos beli tepung dan kukus. Untungnya mungkin dalam 20 ringgit. Kalu kira minyak motor perjalanan pergi-balik menjual, mungkin lagi kurang untungnya.

Kerja sendiri dan makan gaji

Begitulah orang yang bekerja berniaga sendiri. Banyak dia usaha, banyaklah dia dapat. Kurang usaha, kuranglah pendapatannya.

Malah, untung yang sedikit itu menjadi saraan harian seperti makan dan minum, bagi orang-orang yang seperti itu.

Jadi, kalau mereka tak usaha habiskan jualan, maka tak makanlah mereka hari itu. Setengah peribahasa kata: "Kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang."

Berbeza orang yang bekerja makan gaji. Setiap bulan terima gaji. Kerja mereka ada waktu, biasanya 8 pagi dan habis 5 petang.

Orang berniaga, waktunya tak sama. Waktu orang makan gaji bekerja dia bekerja. Waktu orang makan gaji berehat, dia pun bekerja. Kalau dia rehat, dia tak dapat 'gaji'. Orang makan gaji, rehat pun 'bergaji'.

Orang makan gaji, khususnya dalam bidang perkhidmatan sewajarnya menjadikan waktu bekerjanya sebagai waktu usahanya yang paling produktif.

Saya sedih, sesetengah sektor perkhidmatan di negara ini terutama perkhidmatan awam berikan perkhidmatan sambil lewa. Sedangkan ketika mereka ini memberikan perkhidmatan sambil lewa itu, mereka mendapat gaji. Gaji itu mereka beli makanan untuk mengisi perut mereka dan anak-anak.

Mungkin mereka tak duduk dalam keadaan si penjual nasi lemak yang setiap pagi mereka beli di tepi jalan sewaktu nak pergi ke tempat kerja.

Atau menjadi si penjual putu mayam seperti cerita di atas.

Hayatilah kehidupan mereka-mereka ini, setiap kali kita membeli makanan dari mereka.

Baru kita kenal erti hidup dan keberkatan.

Bandar Baru Sentul
10:30 pm

Wednesday, March 27, 2013

Bekerjaya atau bekerja: "Orang puang pahang mmolek!"

Ini gambar teman-teman Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUM) wanita menerajui MASISNA iaitu Majlis Mahasiswi, podium yang menggerakkan wanita muda. Hebat wanita-wanita ini..

Assalamualaikum wrt wbth.

Hari ini saya membaca satu pandangan ilmuan mengenai isu wanita di dalam Majalah Anis keluaran bulan April. Iaitu isu kesamarataan wanita dalam isu bekerja.

Bila menelusuri penulisan tersebut, dalam hati terdetik isu ini memang tidak akan habis bila dibincangkan.

Terutama isu wanita bekerja. Wanita comfirm tak setuju kalau disekat mereka bekerja.

Lelaki pula (kebanyakan) mahu wanita duduk 'diam-diam' di rumah. Katanya urus rumah tangga.

Kerjaya atau bantu suami

Dunia berkata pada hari ini, bahawa wanita bekerja adalah perkara biasa. Sebahagian wanita berhujah mereka bekerjaya untuk bantu suami. Bantu tambah pendapatan suami.

Maklumlah kos hidup semakin hari makin meningkat kerana inflasi. RM1 hari ini tak sama dengan RM1 sepuluh tahun dulu.

Kalau dah ada anak nak kena tanggung belanja makan dan minum. Yuran sekolah lagi. Itu tak masuk tuisyen dan macam-macam lagi. Kalau anak enam orang, lagi bertambah-tambah.

Di sini, saya bersetuju wanita bekerja bantu suami. Malah berpahala lagi tu.

Isunya sekarang ini ada kalangan wanita yang bekerja bukan kerana nak bantu suami. Nak bantu suami tu dah jadi nombor dua, yang pertama dia nak bekerjaya.

Bekerjaya maksud saya dia nak bekerja kerana dia minat kerja itu. Misalnya nak jadi doktor, peguam dan sebagainya.

Bila kerja-kerja yang macam tu, ia kerja yang 'ada nama'.

Pandangan Islam

Dr Yusuf Al-Qaradhawi berpandangan di dalam bukunya mengenai wanita, beliau berkata wanita boleh bekerja, tapi kerja yang sesuai dengan sifat dan fitrahnya.

"Misalnya kerja jururawat atau doktor. Dan wanita juga boleh berpolitik, tapi politiknya mesti membawa dia menjawat jawatan sebagai penggubal dasar mengenai wanita. Letak mereka di kementerian wanita."

Kita dok bangga ada wanita jadi askar, angkat senjata berat-berat. Padahal kerja tu telah menzalimi wanita itu, tak kena fitrah.

Cuba bayangkan wanita angkat senjata, duduk tengah-tengah askar lelaki. Bila pergi berjuang dan perang bersama-sama lelaki, kan banyak masalah. Kalau dia cedera dekat tubuh badannya? Kan susah nak handle tu..

Logik la sikit.

Tak Ikhlas

Seperkara lagi, kita (kedua-dua gender) tak ikhlas berbincang tentang isu ini.

Wanita nak menang isu, lelaki pun nak menang.

Kalau ikhlas, settle masalah.

Wanita kena jujur, bekerja tu kerana tanggungjawab masyarakat iaitu menjadi doktor untuk menjalankan kewajipan fardhu kifayah sebab tak banyak doktor sakit puan.

Atau wanita bekerja sebab nak bantu suami, biar betul-betul memang nak bantu suami. Kalau suami dah stabil maksudnya tak perlu bantuan isteri, si isteri tak perlu susah-susah bekerja.

Ini tak, nak kerja juga, sebab nanti bila orang tanya, tak standard la jawab: "Jadi suri rumah jer.."

Lelaki pun jangan ego sangat. Kalau memang dah tak stabil, bagi je lah isteri kerja. Tapi selaku orang yang faham agama, pantau dan letakkan isteri bekerja di tempat yang betul.

Ini dalam isu yang umum. Tapi kalau dalam isu-isu terdesak seperti ibu tunggal, atau wanita yang kematian ibu dan ayahnya yang kena menyara adik-beradiknya. Ini memang dia wajib bekerja.

Itu kewajipan nafkah.

Apapun, panduan Islam mesti didepan.

Wallahu a'lam.

27 Mac 2013
10:27 p.m
Ulu Yam

Monday, March 25, 2013

Ustaz 'plain' yang banyak di Malaysia

Gambar ini di negara Tanzania. Ia boleh menggambarkan apa itu maksud 'plain'

Assalamualaikum wrt wbth.

Setiap kali saya pergi menghantar ibu saya ke tempat kerjanya setiap pagi, antara radio yang biasa saya buka adalah IKIM.fm, Bernama Radio24 dan era.fm.

Begitu juga bila petang ambil ibu saya, radio itu juga yang saya buka.

Radio IKIM.fm banyak perbincangan ilmiah diselang-seli dengan nasyid. Radio era.fm penuh dengan muzik. Manakala Bernama Radio24 banyak disajikan berita terkini.

Bukan isi kandungan radio itu yang saya ingin cerita. Tapi saya ingin lontarkan satu perkataan dalam bahasa Inggeris yang berkait dengan perkara itu, iaitu 'plain'.

Maksud 'plain'

Bila saya semak di wikipedia, plain itu di dalam ilmu geografi bermaksud: "Land with relatively low relief, that is flat or gently rolling.." (Sumber: www.en.wikipedia.org/wiki/Plain)

Apa yang saya faham, ia adalah suatu keadaan muka bumi yang rata dan rendah. Mudah cakap, keadaan tidak bergunung dan berbukit.

Mungkin juga ia bermaksud corak yang kosong. Persepsi ini saya ambil apabila berkesempatan berbincang dengan seorang sahabat saya yang mengusahakan perniagaan kedai tudung keluarganya.

Saya bertanya kepadanya: "Tudung yang paling laku dekat sini yang jenis macam mana?" Jawabnya: "Yang paling banyak corak, dan yang corak agak plain agak kurang permintaan." Dia berkata sambil menunjuk tudung yang bercorak plain.

Baru saya faham, bila sebut plain, coraknya tidak ada, hanya tudung berwarna yang kosong. Ia biasa dibeli oleh muslimah yang agak sopan dan tidak suka bergaya sangat (mungkin).

Ustaz 'plain'

Berbalik pada isu yang saya sebutkan diatas. Dari tiga radio yang saya sebutkan, radio IKIM.fm saya boleh kategorikan sebagai radio plain. Ini kerana gaya penyampaian dan persembahan radio ini sangat mendatar dan tidak kreatif.

Berbanding dua radio lagi, walaupun jenamanya tidak Islam, tapi persembahan mereka sangat menarik. Sentiasa ada pembaharuan, kreatif dan menepati citarasa orang muda.

Seawal 6 pagi saya keluar, selepas dengar tafsir Dr Zahazan, saya terus ubah siaran kepada era.fm. Bukan kerana tidak suka pengisian agama dalam IKIM.fm, tapi cara penyampaian DJ membuatkan saya rasa lagi mengantuk. Lebih-lebih lagi nak memandu.

Begitu juga, di Malaysia ini ramai juga ustaz-ustaz yang menyampaikan ceramahnya mendatar. Saya boleh katakan sebagai ustaz plain.

Saya selalu dengar bila mana ada sesi soal-jawab, banyak ustaz yang gagal menjawab permasalahan masyarakat. Misalnya ada orang bertanya, bagaimana nak menguruskan kakitangan pejabat yang suka dengki satu sama lain. Ustaz itu menjawab: "Wahai orang yang suka dengki, sesungguhnya dengki itu akan membawa kamu ke neraka.."

Memang jawapan itu ada benarnya, tapi itu tidak selesaikan masalah si bertanya. Tidak praktikal.

Macam tudung yang tiada corak, orang akan hanya nampak ia adalah tudung biasa yang tiada apa-apa istimewa melainkan ia ada satu warna sahaja. Berbanding tudung yang bercorak bunga, daun, dan berwarna-warni.

Ustaz plain selalu tidak faham apa kehendak masyarakat atau gagal menterjemahkan Islam kepada kehendak masyarakat. Cara nak bezakan ustaz plain dengan ustaz 'bercorak', kita boleh tengok jawapan bila orang tanya soalan.

Contohnya, orang bertanya: "Ustaz, antara tunai Haji dengan berkahwin, mana yang lebih penting dilakukan?"

Ustaz plain akan menjawab: "Berkahwin. Kerana ia wajib, sedangkan Haji itu wajib bagi yang berkemampuan sahaja."

Ustaz yang tidak plain akan menjawab: "Kalau kamu tengok tiang lampu tu dah macam 'awek', elok kamu kahwin dulu.."

Hehe.

Sri Gombak,
10:53 p.m

Friday, March 15, 2013

Salam hujung minggu..


Pengisian jiwa dan rohani itu penting. Setiap masa hati insan akan kering jika tidak dibasahkan dengan nasihat.

Assalamualaikum warohmatullah wabarakatuh.

Lama benar tidak menulis di blog ini. Rasanya hampir tujuh bulan.

Berfikir dua tiga kali juga hendak buka komputer, untuk tarik kerusi dan menaip satu-persatu memuntahkan idea dan fakta.

Orang kata zaman sekarang semua update dekat FB dan Twitter saja, jadi berblog ni pada masa-masa lapang sahaja.

Tahun 2013, sudah tiga bulan berlalu. Bulan Mac ini pula sudah melepasi pertengahan. Pejam-celik, lagi empat bulan Ramadhan akan bertamu. Itupun kalau kita sedar.

Saya juga  menelusuri teman-teman blog yang dulunya pernah saya follow, nampaknya hampir sebahagian dari mereka sudah tidak aktif. Moga-moga mereka sentiasa baik-baik hendaknya.

Masa memang sentiasa berlari. Sama ada kita sedar, ia akan terus pantas bergerak. Dan sama ada kita sempat berlari bersama-sama dengan masa itu, atau kita ditinggalkannya.

Orang yang bekerja sendiri macam saya, kalau tidak disusun agenda dengan masa, pasti akan ketinggalan, dan ada saja perkara yang hendak ditangguh.

Makhluk yang bernama 'tangguh' ini mesti dibunuh awal-awal.

Imam Hassan Al-Banna selalu pesan: "Tidak ada sesuatu yang paling berbahaya selain daripada bertangguh.."

Kalau hari ini kita tangguh perkara yang perlu diselesaikan hari ini, kita akan letakkan perkara hari ini kepada hari esok, sedangkan pada hari esok kita sudah ada agenda dan perkara yang hendak diselesaikan.

Bagaimana kalau hari esok punya kerja ditangguh kepada lusa? Lusa kepada tulat? Tulat kepada....

Itulah bahayanya.

Setiap hari mesti tulis apa yang hendak dibuat. Tandakan satu persatu apabila sudah diselesaikan. Itu dalam urusan harian. Tapi alangkah baiknya juga kalau tabiat ini diaplikasi dalam urusan ibadah.

Misalnya tuliskan apa ibadah atau amalan sunat yang hendak dibuat hari ini (ibadah wajib tak payah, sebab itu memang kena buat).

Muslim yang baik adalah Muslim yang hidupnya terancang. Kalau kata arabnya munazzamah.

Kalau kita sedar, bila hidup ini terancang sebenarnya kita banyak lebihan masa dalam hidup. Yang mana lebihan masa itu menuntut kita untuk dirancangkan juga..

Hehe.

Bandar Baru Sentul
01:13 pm